Daulat Tuanku

Daulat Tuanku
"KESEDARAN"

Aug 18, 2010

BATAL HAK MELAYU BERERTI BATAL JUS SOLI

Melayu merupakan gelaran bagi etnik-eknik kecil di kepulauan Hindia Timur yang berhubungan antara puak yang berlainan bahasa menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu tersebar ketika empayar Melaka menguasai ekonomi Nusantara 600 tahun lalu. Hindia Timur disebut Nusantara dalam bahasa Melayu.

Malaysia pula merupakan gelaran antropologis Barat kepada kepulauan Nusantara sejak mereka mula mengkaji ras manusia beratus tahun lalu. Namun, kesan imperialisme yang melibatkan persaingan tanah jajahan oleh bangsa Eropah, Nusantara berpecah kepada dua apabila Inggeris berjaya menguasai Selat Melaka.

Negara Malaysia yang wujud pula merupakan adunan yang dicipta kesan dari imperialisme Inggeris. Sebahagian besar Nusantara yang dijajahi Belanda mengisyhtiharkan kemerdekaan melalui pengunduran Jepun lalu membentuk negara kuasa pusat bernama Indonesia.

Kemerdekaan negara yang kemudiannya dinamakan Malaysia hanya dicapai setelah 11 tahun Indonesia berjaya berbuat demikian dengan mematahkan cubaan pendudukan semula Belanda. Malaysia tidak dapat berbuat demikian apabila British telah lama mentadbir negeri-negeri Melayu dengan sistematik dan berpiagam yang memerlukan pengendalian jentera pentadbiran yang cekap.

Pun begitu, bermula tahun 1948, ketika negara Israel lahir, negara-negara penjajah telah bersiap sedia untuk memerdekakan tanah-tanah jajahan mereka melalui perlembagaan yang tertulis atas restu mereka.

Tunku Abdul Rahman menggunakan diplomasi semaksima yang mungkin bagi membolehkan kemerdekaan diperoleh dengan cara yang teratur. Pembentukan perlembagaan oleh Tunku Abdul Rahman disulitkan dengan keengganan British untuk menghantar pulang tenaga kerja asing yang memaksa beliau mengutarakan idea kerakyatan bagi mereka yang lahir di tanah orang-orang Melayu ini.

Namun, tidak ramai generasi hari ini menyedari bahawa hakikat kerakyatan tenaga kerja asing di negara ini adalah berdasarkan prinsip jus soli yang diambil kira dalam pembikinan perlembagaan. Orang Melayu membantah hebat. Sebagai imbangan dari ribut sahsiah bangsa Melayu itulah konsep hak istimewa Melayu digunakan dan dipersetujui oleh semua.

Kaum pendatang tidak terfikir bentuk negara apakah yang akan dimerdekakan kerana dibayangi dilema kewarganegaraan. Konsep hak istimewa Melayu dipersetujui oleh mereka bagi menjamin prinsip jus soli digunapakai.

Tetapi, hari ini, ada dikalangan kaum bukan Melayu di negara ini, tanpa rasa segan ke atas diri mereka sendiri kerana menutup mata kepada sejarah, bebas menyindir, membincang dan mentertawakan relevan hak istimewa orang Melayu di Malaysia di dalam akhbar dan internet menggunakan medium bahasa bukan Melayu.

Malah, ramai pula dikalangan mereka yang melahirkan rasa bimbang ke atas penghijrahan tenaga kerja Indonesia yang merupakan pengisi kitaran yang pernah diisi oleh mereka walhal rakyat Indonesia merupakan masyarakat Nusantara. Yang membezakan keadaan kini ialah jumlah kemasukan dikawal ketat oleh dasar-dasar baru.

Benar bahawa pemimpin Melayu terdahulu melakukan kesilapan dengan menggadaikan hak istimewa Melayu dengan prinsip jus soli. Prinsip ini juga merupakan kunci membantu kaum Cina di Singapura mendapat tiket untuk melabuhkan punggung selamanya di rantau ini. Jika tidak masakan Singapura membebaskan diri dari British melalui Malaysia.

Apakah hal ini dilihat oleh sesetangah kaum bukan Melayu yang dijadikan rakyat-rakyat raja Melayu, dengan sikap pengkhianatan pada janji, menggesa prinsip jus soli itu ditiadakan supaya hak istimewa Melayu boleh terhapus?

Lebih-lebih lagi, jos soli mewujud kekhuatiran dikalangan mereka terhadap fenomena kerakyatan anak-anak pendatang tenaga kerja asing terutamanya Indonesia pada masa ini yang mengakibatkan pengecilan saiz bukan Melayu di negara ini.

Jika ini benar-benar dicita-citakan, ianya bermakna mereka mendesak kewarganegaraan mereka dikaji semula.

Apakah dengan menggugurkan prinsip jus soli, mereka tidak merasakan bahawa kerakyatan mereka akan lucut? Secara prinsip dan imbangan, dengan membatalkan hak istimewa Melayu, perlembagaan turut secara automatiknya membatalkan prinsip jus soli.

Maka dengan itu, segalanya kembali ke meja rundingan pada saat perlembagaan dirangka dan segala kestabilan perlu bersedia untuk digadaikan.

Pengkritik hak istimewa Melayu mempunyai pemikiran sempit kerana mereka tidak dapat menembusi corak sebenar jalan menuju kemerdekaan negara ini yang dipenuhi oleh perbincangan yang disepakati dengan konsep menang-menang.

Mereka lupa bahawa jus soli tidak wujud tanpa dambaan pihak yang mengharapkannya dan hak istimewa Melayu tak akan wujud tanpa tugasnya sebagai wang jaminan untuk merealisasikan penggunaan prinsip jus soli.

Jika kritikan mereka bukan disebabkan kejahilan mereka mengenai sejarah, mereka adalah golongan yang cuba memporak perandakan keharmonian negara dan perlu ditahan untuk siasatan.Dengan mempersoalkan isu hak istimewa orang Melayu serta apa juga yang berkaitan dengan orang Melayu terutamanya agama Islam, terlalu jelas bahawa mereka juga mempertikaikan prinsip jus soli yang merakyatkan setiap pendatang yang lahir di Nusantara Malaysia.

Jus soli kurang menjadi ingatan kaum bukan Melayu lantaran ia tidak dijadikan mainan oleh pemimpin politik Melayu apabila hak istimewa Melayu dipertikai. Ini kerana kesopanan, toleransi, sikap menjaga hati yang begitu menebal dalam peradaban Melayu.

Tetapi apabila isu hak istimewa Melayu cuba dibuang tanpa pembatalan prinsip jus soli yang mana kedua-duanya lahir bagi mengimbangkan sesebuah polemik genting, maka ianya mengundang ke arah negara ketika mula hendak ditubuhkan.

Tiada siapa mahu melihat negara ini kembali memulakan pentadbirannya seperti hari-hari pertama ia mendaulatkan perlembagaan tanpa hak istimewa Melayu dan tanpa prinsip jus soli. Ini bermakna kaum yang sebelum ini telah mempunyai kerakyatan, perlu berubah.

Apakah mereka perlu memperbaharui pas kerja di negara ini atau pulang ke kampung halaman nenek moyang mereka untuk memulakan hidup baru di tanah asal.Orang Melayu juga tidak mahu untuk tiba-tiba menjadi mundur tanpa kegiatan ekonomi, kembali kepada kehidupan sara diri dan lebih buruk apabila kepayahan mencetus perang saudara dan segalanya bermula semula dengan kacau bilau.

Inilah apa yang patut digambarkan kepada ramai oportunis di negara ini yang sentiasa tidak melahirkan penghargaan atas apa yang telah ada hari ini. Ramai kalangan masyarakat telah dicekup oleh oportunis-oportunis ini bagi menzahirkan kacau bilau yang amat mereka inginkan.

Akibatnya, dakwaan melulu, komen sindiran dan ulasan bodoh tersebar di akhbar dan internet.Pemerintah Malaysia perlu memperbanyakkan pengkisahan sejarah negara dan sejarah nasionalisma dan melipatgandakan penyampaian maklumat berhubung kisah-kisah penubuhan negara ini mulai dari hari ini dengan menzahirkan filem dan dokumentari semua bahasa dan penuh giat.

Biarlah ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 53 pada tahun 2010 memberikan kesedaran yang menyeluruh kepada rakyat negara ini berhubung pentingnya merangka masa depan dengan menjadikan sejarah sebagai asas untuk membina masa depan. Ianya cukup penting bagi memencilkan golongan buta sejarah dan berhati busuk ini agar mereka luput dalam lipatan sejarah.


Petikan dari : Malaysia Raya

No comments:

Post a Comment