Daulat Tuanku

Daulat Tuanku
"KESEDARAN"

Jun 28, 2010

Utusan

ARKIB : 26/06/2010

Melayu jadi minoriti kuasa politik

Malaysia kontemporari mempunyai pelbagai kelompok Melayu dalam semua aspek kehidupan. Ini lumrah manusia dan kemasyarakatannya. Namun kebelakangan ini, muncul kelompok Melayu liberal dan universalis. Pandangan mereka mengecewakan majoriti Melayu yang sentiasa menyanjung prinsip tradisional -- di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Kelompok liberal dan universalis ini wujud dalam dunia akademik dan arena sosio-ekonomi. Emansipasi atau pembebasan minda mereka boleh memudaratkan agama, bangsa, dan tanah air. Ini kerana kelompok ini tidak lagi memahami, apatah lagi menghormati Melayu dan sejarah perjuangannya.

Oleh sebab itulah, baru-baru ini ada kelompok Melayu yang cuba memansuhkan elemen-elemen afirmatif mengenai Melayu dan bumiputera dalam dasar ekonomi negara. Kini, ada pula segelintir Melayu yang gagal melihat keunggulan siasah Melayu mungkin binasa jika mereka berpecah-belah secara konsisten dalam siasah.

Bagi manfaat bersama, wajar diimbas semula sejarah kependudukan Malaysia di zaman silam. Ini bukan untuk meagung-agungkan Melayu. Sebaliknya untuk membuktikan bahawa keunggulan Melayu di Malaysia adalah hakikat yang perlu dipertahan, dipelihara, diiktiraf, dan dihormati.

Malaysia adalah gabungan Persekutuan Tanah Melayu, dengan Sabah dan Sarawak. (Dari 1963 hingga 1965, Singapura juga menjadi warga Malaysia). Sebelum era penjajahan mulai 1511, Tanah Melayu adalah bumi Melayu dan negara Melayu. Singapura adalah negeri Melayu yang digadaikan kepada Inggeris. Sabah dan Sarawak juga adalah negeri milik rumpun Melayu.

Bagaimanapun, penjajahan dan transmigrasi silam menyebabkan pola kependudukan wilayah Melayu ini berubah coraknya. Oleh sebab itulah, kemerdekaan tanah air ini menjelmakan Tanah Melayu sebagai sebuah negara majmuk.

Kemajmukan ini adalah akibat statistik bukan Melayu di Tanah Melayu yang bertambah sebagai impak daripada kebanjiran rakyat China dan India ke bumi Melayu di era penjajah. Mereka datang berdagang dan untuk menimba rezeki.

Contohnya, Abdullah Dahana (2002;38-39) memetik perangkaan penduduk Tanah Melayu seperti berikut: Tahun 1895: Melayu 63.9%; Cina dan India 29.4 %; 1921: Melayu 54%, Cina dan India 44.5%; 1931: Melayu 49.2%, Cina dan India 49%; 1947: Melayu 49.5%, Cina dan India 49.2%; 1957: Melayu 49.8%, Cina dan India 48.5%.

Statistik ini menjadi faktor utama keturunan Cina menggerakkan politik mengenai kewarganegaraan mereka di Tanah Melayu dalam era pasca Perang Dunia Kedua. Mereka menggunakan Republik Rakyat China sebagai sekutu Inggeris dalam perang tersebut, untuk mempengaruhi kerajaan Inggeris memberikan status kewarganegaraan yang sama dengan umat Melayu dan lain-lain pribumi di Tanah Melayu menerusi Gagasan Malayan Union.

Oleh sebab itulah, Gagasan Malayan Union ditentang habis-habisan oleh umat Melayu. Tetapi, dengan sedikit perubahan, akhirnya keturunan Cina dan India menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu menerusi prinsip jus soli pada 1957.

Berdasarkan kajian seorang sarjana keselamatan, status Persekutuan Tanah Melayu sebelum penjajahan bolehlah dikategorikan sebagai nation-state, atau negara-bangsa di mana bangsa yang tunggal menentukan destinasi negaranya. Tetapi, selepas merdeka, ia menjadi state-nation, iaitu entiti di mana negara berperanan besar untuk menyatu padu, membentuk, serta membina bangsanya yang majmuk.

Implikasi statistik ini juga banyak dikaji oleh sejarawan, budayawan, sosiologis, dan saintis politik. Oleh itu, saya cadangkan kepada kelompok Melayu liberal dan universalis, termasuk seorang profesor madya dari Universiti Malaya yang baru-baru ini menyangkal pendapat Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai Melayu, supaya membaca buku-buku mengenai sejarah kemajmukan rakyat Malaysia, yang antaranya adalah seperti berikut:

Malaysia, Victor Purcell (1965), The Making of Modern Malaysia and Singapore, N.J. Ryan (1969); Tanah Melayu Kurun Kesembilan belas, C.D. Cowan (1970); Glimpses of Malaysia History, Zainal Abidin Wahid (1970); Malaya: Perkembangan Masyarakat Majmuk, Graham Saunders (1978); Chinese Village Politics in the Malaysian States, Judith Strauch (1981); The Colonial Office, War, and Development Policy, J.M. Lee (1982); Nation Building in Malaysia, James Ongkili (1985).

The Malayan Union Controversy 1942-1948, Albert Lau (1991); Bumi Dipijak Milik Orang, Ahmad Fauzi Basri, Mohd. Idris Salleh & Shafee Saad (1991); Divide and Rule: the Roots of Race Relations in Malaysia, Collin Abraham (1997); China dan Malaysia Dalam Arena Perang Dingin 1949-1974, Abdullah Danana (2002); Chinese Politics in Malaya 1942-1945: The Dynamic of British Policy, Oong Hak Ching (2000); Sharing the Nation: Faith, Difference, Power and the State 50 Years After Merdeka, Norani Othman, Mavis Puthucheary & Clives Kessler (2008); dan Ethnic Relations in Malaysia: Harmony and Conflict, Syed Husin Ali (2008).

Pada 1963 hingga 1965, statistik kependudukan Malaysia pula menjadi paksi perjuangan konsep Malaysian Malaysia oleh seorang pemimpin politik Singapura. Pada ketika itu, 32 peratus penduduk Malaysia adalah Melayu, 42 peratus etnik Cina, kira-kira 10 peratus etnik India dan Pakistan, bakinya tujuh peratus adalah Iban, Kadazan, Kayan, Kelabit dan lain-lain etnik.

Statistik ini membuktikan, dalam era awal penubuhan Malaysia, bukan Melayu adalah seramai 52 peratus, Melayu 32 peratus, dan bumiputera tujuh peratus. Peratusan inilah yang menjadi faktor tersirat di sebalik perjuangan konsep Malaysian Malaysia yang kononnya untuk memberikan keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Oleh sebab itulah, konsep Malaysia Malaysia mahu merubah Perlembagaan Persekutuan, khususnya untuk memansuhkan Fasal 153 mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera, serta untuk menjadikan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil mempunyai status seperti bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia.

Demikianlah huraian sejarah sewaktu umat Melayu menjadi minoriti secara statistiknya. Hakikat ini, berubah setelah Singapura terkeluar dari Malaysia pada pertengahan tahun 1965.

Hari ini, memang umat Melayu merupakan majoriti penduduk Malaysia. Tetapi, umat Melayu juga boleh menjadi kelompok minoriti dan kehilangan kuasa politik menerusi dua punca utama.

Satu, akibat penguncupan jumlah umat Melayu secara fizikal disebabkan oleh kemerosotan kadar kelahiran dan pertambahan kadar kematian. Kedua, akibat fregmentasi politik menerusi penubuhan pelbagai parti siasah yang berkonflik.

Oleh sebab itu, Tun Mahathir telah memberikan pandangan yang tepat. Umat Melayu memang akan menjadi minoriti politik di Malaysia jika mereka terus berpecah-pecah kepada pelbagai kelompok siasah yang berkonfrontasi.

Ini bermakna Tun Mahathir bukan membicarakan soal minoritinya umat Melayu berasaskan statistik, sebagaimana keturunan bukan Melayu memperjuangkan status mereka menerusi realiti statistik dalam era pra-merdeka. Sebaliknya, beliau meramalkan yang umat Melayu akan menjadi kuasa minoriti menerusi fregmentasi siasah.

Ini kerana Tun Mahathir melihat fregmentasi politik Melayu sebagai perpecahan yang menepati pepatah Melayu: "berkerat rotan, berpatah arang." Ini bermaksud, perpecahan Melayu menerusi kelompok siasah adalah atas dasar permusuhan dan persengketaan.

Dengan psikologi sedemikian, umat Melayu berkonflik sepanjang masa. Mereka juga sanggup bertindak dan bersuara sehingga menyebabkan umat Melayu sendiri diperkotak-katikkan oleh pihak lain.

Inilah namanya politik nafsu-nafsi. Seluruh kelompok politik Melayu hanya mengutamakan kepentingan sendiri. Hakikat agama, bangsa dan lain-lain aspek sosio-ekonomi sanggup mereka dedahkan tanpa batas di khalayak ramai. Akhirnya, Melayu menang sorak tanpa menyedari kemungkinan kuasa politik mereka tergadai ke pihak lain!

Hakikat ini berbeza dengan kaum Cina di Malaysia. Dari segi perangkaannnya, mereka memang lebih kecil bilangannya berbanding dengan umat Melayu. Tetapi, perpecahan keturunan Cina dalam politik tidak menyebabkan mereka mempunyai kuasa tawar-menawar yang lemah.

Buktinya, di samping MCA selaku parti tertua keturunan Cina di Malaysia, wujud SUPP di Sarawak, dan SCCP di Sabah, yang kesemuanya mewakili keturunan Cina dan menjadi komponen Barisan Nasional (BN).

Gerakan pun sama statusnya. Sebagai anggota BN, ia mendakwa sebagai sebuah parti multi-keturunan. Pada hakikatnya, ia adalah parti yang didominasikan oleh keturunan Cina. Oleh itu, hanya DAP sahaja yang merupakan kelompok keturunan Cina yang menjadi pembangkang.

Biarpun begitu, DAP tetap mempunyai ruang dialog dengan lain-lain komponen parti Cina dalam BN menerusi wadah sosio-budaya dan ekonomi, seperti menerusi Dewan Perniagaan Cina atau NGO pendidikan Cina di Malaysia.

Ini bermakdsud bahawa kaum Cina di Malaysia mempelbagaikan kelompok politiknya untuk memperoleh kuasa tawar-menawar yang lebih mantap, efektif, dan luas. Jika mereka hanya bertumpu kepada MCA, kuranglah kuota perwakilan mereka dalam Kabinet negara.

DAP yang bertindak sebagai pembangkang pula menjadi jurucakap keturunan Cina apabila parti komponen Cina dalam BN merasa segan silu untuk membicarakan isu berkenaan Cina demi untuk menjaga hati UMNO.

Dalam konteks ini, keturunan Cina menggunakan strategi perniagaan untuk memaksimumkan pengaruh, peluang, dan faedah politiknya, di samping mengimbangi realiti mereka yang minoriti dari segi statistik.

Adakah parti siasah pembangkang Melayu seperti Pas pernah duduk semeja dengan UMNO untuk mengartikulasikan isu-isu Melayu dan Islam untuk disuarakan dalam Parlimen, jika UMNO sendiri berasa berat hati untuk bertindak demikian?

Adakah PKR yang majoriti pemimpinnya adalah Melayu pernah memberikan ruang kemelayuan dalam gerak dan tindakan politiknya? Adakah sesuatu yang perkauman dan jijik untuk memperjuangkan isu Melayu dalam konteks Malaysia majmuk? Mengapakah bukan Melayu mempertikaikan isu Melayu tidak dicap rasialis?

Maka, di sinilah tersiratnya ketajaman minda Tun Mahathir menerusi pandangannya baru-baru ini. Tun Mahathir tidak bergurau, dan jauh sekali beliau berminda setengah masak. Tun Mahathir bertindak dan bersuara kerana kini wujud petanda bahawa umat Melayu mungkin memasuki era neo-kolonialisme dalam seluruh aspek kehidupan mereka semata-mata akibat sikap segelintir Melayu yang liberal dan universalis sama ada di dalam atau di luar parti pemerintah.

Moga-moga pandangan saya ini akan diperhalusi oleh para akademik tempatan, termasuk Prof. Madya Dr. Azmi Sharom, yang baru-baru ini menuduh Tun Mahathir sebagai berminda kurang matang. Sesungguhnya Tun Mahathir adalah negarawan ulung yang disegani oleh semua, termasuk komuniti antarabangsa!

Datuk Ibrahim Ali ialah Presiden Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Jun 24, 2010

PERLEMBAGAAN MALAYSIA ARTIKAL 153

Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusatmelindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia.