Daulat Tuanku

Daulat Tuanku
"KESEDARAN"

Oct 13, 2011

Benarkah Melayu Mengemiskan Perlindungan oleh Kerajaan Sendiri?



Semalam YAB Perdana Menteri semasa berucap di Majlis Pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu telah diantara lain berkata "Melayu abad ke-21 tidak boleh berselindung disebalik perlindungan kerajaan untuk berjaya" (Utusan Malaysia Jumaat 30.09.11 Dalam Negeri m/s 3).

Ungkapan ini diletakkan juga dimuka hadapan Utusan Malaysia. Persoalannya ialah benarkah orang Melayu hanya boleh berjaya dengan menagih perlindungan kerajaan? 

YAB Perdana Menteri selanjutnya menyebutkan kelebihan dan kebolehan yang ada pada orang Melayu yang berasaskan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam. Kelebihan ini katanya akan memberikan kejayaan yang bermaruah dan terhormat, tetapi orang melayu perlu ada keberanian dan keyakinan diri untuk berjaya.

Persoalan lagi ialah, apakah orang melayu tidak sedar atau malas menggunakan kelebihan tersebut dan/atau masihkah orang Melayu bersikap berlindung kepada perlindungan kerajaan? Jika YA, bolehkah pihak YAB Perdana Menteri perjelaskan dengan lebih lanjut keadaan ini dan sebab ia dikatakan begitu?

Saya hadir di majlis pelancaran MTEM malam tadi itu bersama-sama beberapa orang rakan diatas jemputan yang diberikan oleh penganjur. Jemputan dengan borang pendaftaran melalui e-mail, tetapi sungguh kecewa dengan urusetia penganjurannya yang "hampeh". Urusetia penganjurannya tipikal satu kegagalan . Tidak langsung menampakkan keikhlasan maksud MTEM itu sendiri. Ia lebih pada satu majlis mengumpul seramai mungkin tetamu lantas deretan bas dan berbondong-bondong manusia termasuk berbagai lapisan dari yang bertongkat hingga ke anak-anak kecil dikendong. Pelajar IPTA berdekatan berbaris-baris menguasai segala sudut kosong. Tetamu berpakaian sesuka hati, ada yang berfesyen ala Namewee. Tak mengapalah, sedang kita yang mendaftarkan kehadiran melalui borang diemail diberikan kad jemputan "berpakaian kebangsaan". Sesampai di venue, meja pendaftaran setakat melepas batuk ditangga dengan urusetia memegang kertas putih kosong tanpa senarai dan kita ditanya nama dan ditulislah dengan ballpoint setakat jangan tak tulis. Kemudian...pandai-pandailah cari tempat duduk. Didalam Dewan dah penuh sesak dan meja dah di bolot oleh yang datang awal tanpa sebarang tanda ada sebarang perancangan selain nombor atas meja yang tak membawa apa-apa erti pada para tetamu. Bukan nak komen atau nak ngomel, tetapi itulah dia suasananya. Kami ambil keputusan balik sebelum pun PM datang dan berakhir makan satay Samuri di R & R Awan Besar, lengkap berbaju Melayu. Lagi best !!

Pagi ini baca Utusan dan itulah ucapan Perdana Menteri. Perlukah ucapan begini pada abad ke-21 didalam waktu kita sudah Merdeka 54 Tahun dan di perintah oleh kerajaan bertunjangkan Melayu sejak itu? Perlukah kita asyik nak kritik orang melayu dan di abad ke 21?

Jika dikatakan perlu, maka apakah salah, orang Melayu diberikan perlindungan? Apakah salah ,orang melayu mahu berlindung pada perlindungan? Apakah perlindungan itu satu kesalahan? 

Jika pada sudut pandang Perdana Menteri, melindungi orang melayu itu satu bebanan atau satu kesalahan, maka apakah beliau tidak menghurmati PERLEMBAGAAN Negara atau beliau sekarang dalam usaha TRANSFORMASI bagi merubah juga PERLEMBAGAAN? 

Orang Melayu tidak mati tanpa perlindungan. Orang Melayu tidak mengamuk kerana tidak dapat perlindungan. Orang Melayu menghargai perlindungan itu dan menggunakannya dengan akal dan perasaan syukur nikmat. Hakikatnya orang Melayu bukan menagih atau mengemis TETAPI orang Melayu BERHAK kepada perlindungan sebagai satu HAK yang termaktub didalam Perlembagaan. Orang melayu berhak berdasarkan hakikat sejarah, hakikat majoriti, hakikat keadilan, hakikat demokrasi. Ia satu HAK bagi mereka dan menjadi AMANAH kepada kerajaan. Apakah kerajaan yang bertunjangkan Melayu merasakan ia satu bebanan? Jika padi tidak mengharapkan kepada pagar kepada siapakah hendak di harap? Jika kerajaan Melayu pun nak mengumpat dan mengeluh, maka apakah kita harapkan kepada kerajaan yang tidak nanti bertunjangkan orang Melayu? Jika orang Melayu tidak boleh melindung orang Melayu, apakah orang lain boleh?

Kita menyerulah kepada Kerajaan bertunjangkan Parti Melayu ini jangan asyik melihat salah dan lemah orang Melayu yang mengharapkan kepadanya. Itu pun kita tak menagih atau mendesak, kita hanya harapkan dia dapat jalankan AMANAH yang sudah termaktub didalam PERLEMBAGAAN dan membela HAK yang sudah termaktub didalam sejarah, HAK yang orang Melayu sudah redha dikongsi dan dikompromi demi Nusa dan Bangsa. Apakah salah orang Mel;ayu hendak bernaung dengan HAK yang sedikit tinggal dan diharapkan dijaga dan dilunaskan oleh kerajaan bertunjangkan Melayu juga, yang diamanahkan menaunginya?

Sudah-sudahlah...Buat je lah kerja dan pertingkatkan usaha selari dengan suasana abad ke-21 tanpa perlu lagi orang Melayu diminta berkorban. Dah tak ada apa yang tinggal pun untuk dikorbankan. Tak tahulah kalau orang Melayu nanti bersetuju dengan PM, maka kita korbankan sahaja lah kehendak kepada kerajaan Melayu kerana tidak ada bezanya pun kan? 

No comments:

Post a Comment