SHAH ALAM 22 Jun - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor hari ini memohon agar pingat Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang dikurniakan oleh Sultan Perak kepada bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan ditarik balik.
YBHG TUAN HJ ABDULLAH BIN HJ MANSOR |
Yang Dipertuanya, Abdullah Mansor berkata, Ambiga tidak layak untuk terus memakai darjah kebesaran berkenaan atas tindakannya cuba menghasut rakyat menyokong budaya perhimpunan haram di negara ini.
Katanya, Ambiga yang juga Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak bertanggungjawab kerana tidak menghormati undang-undang negara.
"Sebagai seorang penerima darjah kebesaran, kita melihat ia bukan hanya diukur melalui sumbangan seseorang penerima semata-mata sebaliknya ia turut melibatkan peribadi, tanggungjawab mereka kepada negara, rakyat termasuk menegakkan undang-undang yang telah termaktub di negara ini.
''Sebagai seorang peguam, Ambiga sepatutnya telah memahami dan menegakkan undang-undang negara untuk kepentingan negara dan keamanan rakyat secara keseluruhan, bukannya mengenepikan soal itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ambiga yang tetap berdegil untuk meneruskan perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai ini walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.
Abdullah turut mengulangi pendirian Perkasa yang akan tetap menghalang Ambiga bersama-sama penyokongnya untuk pengadakan perhimpunan haram Bersih pada hari berkenaan.
Katanya, ini kerana pihaknya tidak mahu negara ini dipengaruhi budaya perhimpunan haram seperti yang mahu dilakukan oleh Bersih kerana ia mengundang masalah keamanan dan ketenteraman awam.
''Kita tengok nanti, sekiranya mereka (Bersih) cuba mengadakan huru-hara, kita akan halang mereka. Kita adakan kempen 'Gerak Aman' yang turut disertai lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan atas rasa tangungjawab kita sebagai warga negara yang mahukan keamanan dan menolak perhimpunan haram.
''Kita turut minta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyertai perhimpunan Bersih ini," katanya.
No comments:
Post a Comment